PANDANGAN seorang pensyarah Fakulti Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia bahawa 'kahwin ketika belajar umpama melakukan kederhakaan kepada ibu dan bapa' dalam sesi kuliahnya, baru-baru ini memang wajar diulas kerana pendapat itu ada pro dan kontra. Isu ini perlu dikupas dan dijawab agar tidak menimbulkan salah faham terhadap ibadat perkahwinan yang menjadi satu langkah yang digalakkan oleh Islam bagi menangani pelbagai masalah sosial. Dalam Islam, berkahwin boleh menjadi harus, sunat, wajib, makruh dan haram bergantung kepada kemampuan seseorang dan niat perkahwinan berkenaan.
Sekiranya seseorang itu mampu, maka dia digalakkan berkahwin, tetapi yang tidak mampu, disaran rajin berpuasa bagi menundukkan syahwat. Perkahwinan adalah langkah bagi memenuhi fitrah manusia yang berhajat kepada hidup berpasangan. Soalnya, mahasiswa yang ketika masih belajar itu sebagai menderhaka kepada ibu bapa? Adakah berdosa jika berkahwin ketika belajar berbanding mereka yang melakukan perbuatan maksiat ketika belajar?
Hal ini menyebabkan saya keliru dengan pandangan pensyarah itu yang seharusnya membezakan antara isu golongan berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga dengan mereka yang tidak mampu bernikah tetapi masih mahu berbuat demikian. Ia adalah soal mampu atau tidak, bukan menolak sama sekali perlakuan ini dan melabelkan mereka berbuat demikian sebagai menderhaka kepada ibu bapa. Apakah pelajar bercinta, bergaul bebas, bahkan melakukan zina lebih baik dan tidak derhaka berbanding dengan mereka yang memilih untuk berkahwin? Saya masih ingat, ketika belajar di universiti dulu, saya lihat ada ibu bapa sengaja menikahkan anaknya walaupun belum tamat pengajian ketika itu kerana mereka yakin dengan cara itu, anak mereka akan lebih terjaga dan terpelihara daripada terjebak ke dalam hubungan cinta tanpa ikatan sah.
Rasulullah SAW seperti diriwayatkan bersabda, bermaksud: "Apabila datang kepada kamu seorang lelaki (peminang) yang kamu merasakan puas dengan perilaku agama dan amanahnya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak kamu lakukan, akan timbul kekacauan dan kerosakan besar di atas muka bumi ini" – (Tarmizi). Jika dikhuatiri mereka tidak dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran, hal ini berbalik kepada adakah mereka mampu atau tidak. Ada juga mereka yang bernikah ketika belajar memperoleh keputusan yang lebih baik. Perkataan 'derhaka' yang digunakan oleh pensyarah ini amat mengelirukan saya. Beliau sepatutnya berpesan bahawa pernikahan adalah tanggungjawab dan amanah Allah SWT yang berat, dan hanya mereka yang benar-benar layak boleh memikul amanah itu. Beliau seharusnya menekankan apa dia tanggungjawab dalam rumah tangga dan cabaran bagi mereka yang ingin mendirikan rumah tangga ketika masih belajar. Mereka yang berkahwin ketika belajar pula tidak sepatutnya dilabel dengan perkataan 'derhaka' kerana ada yang berkahwin dengan restu dan doa ibu bapa, bahkan mereka juga bahagia dan berjaya. ANA MUSLIM, Sarawak.
Thursday, June 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment